IKLAN TEKS: TEMPOH PROMOSI PERCUMA 25 MAC HINGGA 31 APRIL 2011

KAMI mempelawa pihak yang menawarkan perkhidmatan dan produk berkaitan pendidikan untuk mengiklankan perkhidmatan dan produk anda di blog ini. Perkhidmatan dan produk lain juga akan dipertimbangkan, jika bersesuaian. Untuk maklumat lanjut sila hubungi kami menerusi emel: pendidikanmalaysia@gmail.com.

Contoh:
Kolej ABC ambil pelajar baru Mei ini

Sabtu, 26 Mac 2011

Lulusan UEC Sekolah Persendirian Cina Dipertimbang Jadi Guru Subjek Bahasa Mandarin

MUAR, 26 Mac (Bernama) -- Lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina akan dipertimbangkan untuk menjadi guru bagi mengajar subjek Bahasa Mandarin.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berkata walaupun keputusan belum dibuat tetapi beliau dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju supaya lulusan UEC diberikan peluang berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu juga atas usaha Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan menteri-menteri kabinet kaum Cina.

"Kami bersetuju supaya lulusan UEC boleh dipertimbangkan untuk mengajar Mandarin sahaja, dengan tiga kredit UEC dan syarat kredit subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya ketika berucap pada perasmian bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soon Ceng, Sungai Abong, di sini,

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja ke bandar ini turut diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dan Dr Chua.

Najib berkata pertimbangan itu dibuat bagi membuka ruang kepada lulusan UEC selain mengatasi kekurangan guru Mandarin di negara ini.

"Kita juga akan beri kursus tambahan supaya unsur sejarah dan mata pelajaran lain boleh disampaikan dalam tempoh mereka mengikuti pengajian," katanya tanpa menyebut tempoh pengajian yang harus dilalui.

"Kalau kita ambil guru luar negara tentu tidak logik dan tidak adil walhal kita ada guru di kalangan rakyat Malaysia yang boleh menjadi guru dalam Mandarin," jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu juga menunjukkan sikap toleransi dan saling memahami antara satu sama lain di kalangan masyarakat di negara ini.

SJKC Soon Cheng diasaskan pada 1947 di Jalan Tun Salleh di sini sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada tahun 2004 dan pada masa kini mempunyai lebih 1,000 orang murid.

Keseluruhan bangunan sekolah itu berharga RM4.8 juta dengan sebahagian besar kosnya hasil kutipan derma daripada orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan