KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini bermula dengan murid Tahun Satu, dapat membangunkan modal insan yang holistik, berpengetahuan serta berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perlaksanan KSSR juga akan lebih menekankan kepada elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi maklumat dan komunikasi yang diajar secara eksplisit kepada murid.
"Ini adalah untuk membentuk modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi," katanya semasa menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-UMNO) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.
Ismail bertanya mengenai keberkesanan sistem KSSR dalam mencapai matlamat pendidikan negara.
Wee berkata sistem ini akan lebih menekankan soal-soal pembentukan keperibadian mulia, mempunyai jati diri yang kukuh serta mempunyai ketahanan dan daya saing yang tinggi agar modal insan yang dilahirkan mampu menghadapi cabaran di masa hadapan.
"Kemahiran dan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga merupakan elemen yang diberi penekanan supaya murid-murid dapat dilengkapkan dengan kemahiran generik," tambahnya.
terima kasih atas artikel ini.
BalasPadam