IKLAN TEKS: TEMPOH PROMOSI PERCUMA 25 MAC HINGGA 31 APRIL 2011

KAMI mempelawa pihak yang menawarkan perkhidmatan dan produk berkaitan pendidikan untuk mengiklankan perkhidmatan dan produk anda di blog ini. Perkhidmatan dan produk lain juga akan dipertimbangkan, jika bersesuaian. Untuk maklumat lanjut sila hubungi kami menerusi emel: pendidikanmalaysia@gmail.com.

Contoh:
Kolej ABC ambil pelajar baru Mei ini

Jumaat, 8 April 2011

RM1.1 Bilion Jumlah Hutang Pinjaman PTPTN Belum Dibayar Balik

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Seramai 214,790 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum membuat pembayaran balik kepada perbadanan itu yang membabitkan jumlah hutang sebanyak RM1.1 bilion, sejak tahun 1997 hingga 28 Feb lalu.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bilangan itu adalah daripada jumlah keseluruhan peminjam iaitu seramai 887,995 orang yang sepatutnya membuat pembayaran balik bagi tempoh tersebut.

Katanya 673,205 peminjam (75.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan peminjam telah membayar balik pinjaman dengan nilai kutipan sebanyak RM2.3 bilion (48.9 peratus) daripada RM4.7 bilion yang perlu dijelaskan.

"Jumlah peminjam itu merupakan mereka yang masih belum memberikan maklum balas terhadap tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh PTPTN.

"(Bagaimanapun) jumlah mereka yang membuat pembayaran balik adalah meningkat iaitu lebih 70 peratus, tetapi nilai kutipan tidak begitu banyak kerana kita membenarkan rundingan dibuat daripada segi nilai yang perlu dibayar balik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perakuan Kredit Modul Pengurusan Kewangan Peribadi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini, Khamis.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997 sehingga 28 Feb lalu, sebanyak 1.7 pinjaman telah diluluskan dengan nilai RM38.15 bilion sementara bagi tahun lalu sahaja, PTPTN telah meluluskan sejumlah 238,722 bilangan pinjaman dengan peruntukan sebanyak RM6.04 bilion.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata modul Pengurusan Kewangan Peribadi yang dirangka oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan ditawarkan di semua institusi pengajian tinggi, bagi membentuk masyarakat mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, khususnya golongan muda.

Katanya ini kerana golongan itu terdedah kepada pelbagai kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh institusi perbankan terutamanya dalam soal penggunaan kad kredit.

Beliau berkata langkah itu juga akan dapat meningkatkan kesedaran golongan pelajar yang menerima pinjaman PTPTN untuk membuat pembayaran balik yang akan diwajibkan kepada semua peminjam PTPTN yang baru.

Mohamed Khaled berkata modul tersebut akan ditawarkan sebagai kursus elektif atau kurikulum dalam sukatan pengajian institusi masing-masing mengikut kesesuaian akademik yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

Katanya pelajar yang mengambil kursus tersebut akan memperoleh satu jam kredit selepas modul itu diperakukan oleh MQA.

"Setiap tahun, PTPTN mengeluarkan pinjaman kepada kira-kira 200,000 pelajar baru sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Politeknik.

"Sebab itu, kita perlu membangunkan kemampuan mereka untuk menguruskan kewangan masing-masing kerana kita tidak mahu, selepas tamat pengajian, mereka lupa atau tidak mampu untuk menguruskannya, sehingga PTPTN tidak dijadikan sebagai institusi yang perlu diberi keutamaan untuk membayar balik hutang," katanya.

Mohamed Khaled berkata sebanyak 32 buah IPTA dan IPTS telah menerap dan melaksanakan modul itu serta kesemua 27 buah politeknik di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan