IKLAN TEKS: TEMPOH PROMOSI PERCUMA 25 MAC HINGGA 31 APRIL 2011

KAMI mempelawa pihak yang menawarkan perkhidmatan dan produk berkaitan pendidikan untuk mengiklankan perkhidmatan dan produk anda di blog ini. Perkhidmatan dan produk lain juga akan dipertimbangkan, jika bersesuaian. Untuk maklumat lanjut sila hubungi kami menerusi emel: pendidikanmalaysia@gmail.com.

Contoh:
Kolej ABC ambil pelajar baru Mei ini

Khamis, 17 Mac 2011

MARA, OUM tawar kursus Diploma Eksekutif Pengurusan Peruncitan

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menawarkan program Diploma Eksekutif Pengurusan Peruncitan (EDRM) kepada mereka yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam bidang perniagaan runcit.

Iklan dalam laman web MARA menyatakan program itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang perniagaan peruncitan.

Program yang mengambil masa selama 10 bulan itu turut menyediakan peluang kepada peserta menjalani latihan praktikal di pasar raya besar dan outlet peruncitan yang berpengalaman.

Pemohon yang berminat dan terpilih akan mendapat pembiayaan yuran pengajian daripada MARA. Peserta yang berjaya menamatkan program itu akan berpeluang menjadi usahawan dalam bidang peruncitan dengan bantuan kewangan dan sokongan MARA.

Kelayakan:
  • Warganegara Malaysia berstatus Bumiputera
  • Berumur antara 21 hingga 35 tahun
  • Memiliki SPM (3 kredit) dengan tiga tahun pengalaman bekerja atau berniaga; atau STPM (2 Prinsipal) dengan dua tahun pengalaman bekerja atau berniaga
  • Pemegang diploma atau ijazah juga digalakkan memohon
  • Sihat tubuh badan dan disahkan oleh doktor bertauliah
  • Bebas daripada sebarang tindakan undang-undang, senarai hitam dan bankrap
  • Pemohon akan dinilai melalui temuduga dan perlu lulus Ujian Keusahawanan bagi melayakkan diri untuk menyertai program ini
Permohonan
Mereka yang berminat boleh melayari laman web MARA untuk mendapatkan borang permohonan.

Semua borang permohonan yang lengkap berserta gambar pasport terbaru, salinan kad pengenalan dan sijil berkaitan hendaklah dihantar kepada:
Pengarah
Bahagian Pembangunan Industri & Perniagaan
Tingkat 23, Bangunan Medan MARA
Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Mac 2011.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, boleh menghubungi 03-2691 5111 sambungan 3803/3802/3806 untuk bercakap dengan Nor Azzah Ismail, Noor Hanani Mohd Noor atau Nur Izzati Ramli.

Tun Dr Mahathir terima ijazah kehormat UniMAP

KANGAR, 17 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Khamis menerima ijazah kehormat ulung Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada majlis konvokesyen khas yang berlangsung di sini.

Dr Mahathir menerima ijazah kehormat ulung Doktor Kejuruteraan manakala Dr Siti Hasmah dianugerahi ijazah kehormat ulung Doktor Sains.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP menyampaikan ijazah kehormat itu kepada mereka dengan turut disaksikan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.

Dalam titah ucapan sempena konvokesyen itu, Raja Muda Perlis menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang banyak membawa perubahan dalam pembangunan negara.

"Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, banyak perubahan dari segi struktur politik, ekonomi dan sosial telah dilaksanakan melalui konsep Wawasan 2020 yang dipeloporinya," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah, di bawah kepimpinan Dr Mahathir, Malaysia mendapat perhatian dunia, dihormati dan disegani oleh negara membangun dan sedang membangun.

"Tun (Dr Mahathir) berjaya menukar wajah Malaysia dari sebuah negara kecil yang ekonominya berteraskan pertanian, menjadi sebuah negara perdagangan dan perindustrian yang berdaya saing pada peringkat global," titah baginda.

Menurut baginda, Dr Mahathir berjaya membawa negara mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan termasuk dalam menangani kemelut ekonomi yang melanda dunia pada 1987 dan 1997.

"Berbagai-bagai projek mega, yang dulunya menjadi cemuhan dan kritikan oleh sesetengah pihak yang tidak jelas akan kepentingannya untuk masyarakat dan negara, kini mula menampakkan keberkesanannya," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah, di sebalik kejayaan Dr Mahathir ialah hadirnya Dr Siti Hasmah, isteri yang sentiasa bersamanya mengharungi kehidupan dan perjuangannya untuk negara.

"Saya ingin mengajak semua pemimpin di segenap peringkat supaya sama-sama meneladani ciri-ciri kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai pemimpin yang berjiwa besar yang mahu melihat masyarakat dan rakyat Malaysia dapat terus hidup aman dan damai, bekerjasama, bersatu padu dan seimbang dalam semua aspek kehidupan," titah baginda.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya pada majlis itu mahu budaya membaca dan mengejar ilmu disemarakkan di institusi pendidikan tinggi supaya ia mampu bersaing pada peringkat global.

"Untuk bersaing dengan universiti di seluruh dunia, tenaga akademik juga perlu meningkatkan jumlah penerbitan jurnal dan buku berkaitan penyelidikan mereka.

"Pada masa ini terlalu ramai yang memberi fokus terhadap penyelidikan dan pembangunan tetapi mengabaikan penerbitan hasil penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, jika universiti tempatan mahu berada dalam kelompok universiti bertaraf dunia, mereka perlu memperbanyakkan penerbitan buku dan jurnal.

UniMAP adalah antara universiti yang bertanggungjawab memartabatkan ilmu pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia kerana ia banyak melahirkan jurutera yang berkualiti, katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain serta Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Pelajar asing belajar bahasa Melayu melalui siri Upin dan Ipin

KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Siri animasi kanak-kanak di televisen tempatan, Upin dan Ipin, rupa-rupanya menjadi bahan berkesan membantu pelajar asing di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan University of Peking, China mempelajari bahasa Melayu.

"Siri ini telah membantu mempermudahkan lagi penguasaan komunikasi bahasa Melayu di Beijing dan ia menjadi antara rancangan yang disukai oleh pelajar asing di China," kata Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu di BFSU, Profesor Dr Awang Sariyan.

Upin dan Ipin mula disiar di TV9 pada Ramadan 2007 yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang ibadah berpuasa. Rancangan itu yang kini sudah memasuki musim keempat boleh turut diikuti dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet dan berjaya dipasarkan ke Indonesia.

Berikutan kejayaannya menambat hati penonton serantau, siri ini disenarai dalam Malaysia Book of Records tahun ini sebagai "Animasi Paling Berjaya".

Awang berkata, pelajar di BFSU didapati memiliki VCD Upin dan Ipin yang kebanyakannya diperolehi dengan cara membeli terus daripada pengedar di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa penerbit filem animasi di negara ini supaya memperbanyakkan lagi penerbitan mereka kerana pembelajaran bahasa Melayu melalui VCD kini semakin popular dan mempermudahkan pelajar asing menguasainya.

"Usaha menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu perlu dilakukan manakala seni dipergiatkan lagi bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana teknologi maklumat dan komunikasi," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, usaha seumpama itu sesuai dengan resolusi Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 yang berakhir di sini, hari ini.

Awang berharap kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu terutama kepada generasi muda diperhebat dan diperbanyakkan dalam memastikan bahasa Melayu terus mekar dan terus maju.

Sarawak akan miliki universiti keenam

SIBU, 17 Mac (Bernama) -- Sarawak bakal memiliki universiti keenam dengan kenaikan taraf Kolej Laila Taib di sini kepada universiti dalam tempoh dua tiga tahun akan datang, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, langkah menaikkan taraf kolej itu bertujuan untuk menampung keperluan yang semakin bertambah terutama bagi lulusan kejuruteraan dan teknikal selaras dengan pembangunan Koridor Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Daripada 1.6 juta pekerjaan di dalam SCORE sehingga 2030, lebih daripada 52 peratus adalah pekerjaan kemahiran yang memerlukan pemegang diploma dan ijazah," katanya ketika pada majlis sambutan ulang tahun ke-110 pembangunan penempatan masyarakat Cina Foochow di bandar Sibu, malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi di kawasan lain bagi melahirkan tenaga kerja mahir termasuk dengan bantuan pihak swasta.

SASER kini Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir

SEKOLAH Menengah Sains Seremban (Saser) kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, mengambil sempena nama Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhun Tuanku Abdul Rahman, ayahanda kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pemasyhuran nama baru itu dilakukan oleh Tunaku Muhriz pada satu majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan, pada 8 Mac lalu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Dr. Zahri Aziz.

Sementara itu, Utusan Malaysia pada 9 Mac 2011 melaporkan, Mohamad dalam ucapannya pada majils itu berkata, pemilihan nama baru itu dibuat berdasarkan ketokohan dan jasa Almarhum Tuanku Munawir khususnya dalam menyumbang membangunkan pendidikan di negeri ini.

”Dengan nama baru itu, ia diharap menjadi pendorong dan sumber inspirasi kepada pelajar sekolah ini untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai bentuk sokongan dan bantuan telah dihulurkan demi memastikan aspirasi dan wawasan pelajar anak negeri mahupun anak dari negeri lain yang menuntut di sini menjadi kenyataan.

”Kerajaan negeri sangat komited terhadap usaha memaju dan meningkatkan tahap serta kualiti pendidikan di negeri ini kerana kita percaya hanya melalui itu sahajalah, modal insan cemerlang dapat dilahirkan,”katanya.


Ditubuhkan pada Februari 2002, sekolah itu menggunakaan bangunan sedia ada adalah bekas Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang berpindah ke Sungai Gadut, Seremban.


Beberapa kerja naik taraf sudah dilakukan dan siap sepenuhnya pada 30 Mac 2002. Kecemerlangan sekolah itu terbukti apabila ia  mengekalkan kedudukan sebagai sekolah terbaik di tangga pertama selama empat tahun berturut-turut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat kebangsaan.

120 pemimpin pelajar sertai KA1M

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
ABD. Ghafar Mahmud (lima dari kanan) bersama pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan pelajar menunjukkan simbol 1Malaysia pada Majlis Penyerahan Anak Angkat bagi program Keluarga Angkat 1Malaysia di Genting Highlands, semalam. 

GENTING HIGHLANDS 11 Mac - Seramai 120 pemimpin pelajar dari sekolah-sekolah seluruh negara bakal menjalani rutin kehidupan yang berbeza apabila menyertai program Keluarga Angkat 1Malaysia (KA1M) anjuran Kementerian Pelajaran selama lima hari bermula hari ini.

Menerusi program itu, dua pelajar akan berkongsi satu keluarga angkat yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian termasuk dari negeri-negeri.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan perpaduan di kalangan pelajar sekolah selain melahirkan bakal pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.

"Ini adalah usaha untuk mendedahkan pelajar dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kita harap mereka menggunakan peluang ini untuk mendalami dan memahami kehidupan masyarakat lain menerusi keluarga angkat masing-masing," katanya selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, kepelbagaian budaya dalam masyarakat sepatutnya dianggap sebagai satu aset dan bukannya liabiliti kepada negara.

Jelasnya, kementerian melihat pendidikan merupakan satu asas dalam mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, KA1M mungkin dijadikan program tahunan kementerian agar usaha menyuntik semangat 1Malaysia ke dalam diri pelajar akan berterusan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Perguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, KA1M bertujuan meningkatkan motivasi dan daya kepimpinan pelajar terlibat.

"Kita harap mereka dapat belajar dan menyerap nilai-nilai kepimpinan yang ada pada pegawai kementerian," jelasnya.

Asariah menambah, di samping menjalani kehidupan bersama dengan keluarga angkat, para pelajar perlu mencatatkan pengalaman yang dilalui dalam buku log.

"Mereka perlu membuat catatan harian berkenaan semua aktiviti yang dijalankan bersama keluarga angkat agar ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah. Kita juga akan cuba mewujudkan alumni untuk mereka agar perhubungan yang terbina akan berkekalan," jelasnya. - Utusan Malaysia Online, 12 Mac 2011

Mencungkil kreativiti, inovasi pelajar

PERTANDINGAN Reka Bentuk Malaysia menjadi platform terbaik untuk para pelajar menyerlahkan kreativiti dan inovasi masing-masing dalam menghasilkan ciptaan baru bagi memacu usaha mentrasformasikan negara ke arah mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, pertandingan yang diadakan sejak 1996 ini merupakan satu inisiatif yang baik selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengenal pasti bakat muda tempatan yang berpotensi dalam bidang reka bentuk kreatif dan berinovasi.
Menurut beliau, melalui pertandingan ini juga pereka tempatan dapat membuktikan kehebatan mereka dalam bidang reka bentuk selain mencabar keupayaan diri bagi menghasilkan idea kreatif berdasarkan tema yang diberikan.
"Banyak bakat muda daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan telah tampil mempamerkan idea-idea kreatif dan berinovasi yang jelas menunjukkan bahawa negara ini tidak pernah kekurangan bakat," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu untuk edisi 2010 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pengerusi MRM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Zainuddin memberitahu, sebanyak 20 idea telah dipilih sebagai finalis pertandingan daripada sejumlah 474 idea yang diterima semasa sesi penilaian.
Beliau menjelaskan, daripada jumlah tersebut, 361 daripadanya adalah penyertaan daripada kategori pelajar universiti, 69 pelajar sekolah manakala 44 lagi dari kategori profesional.
Bagi kategori pelajar sekolah, pemenang pertama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 manakala tempat kedua dan ketiga membawa pulang RM2,000 dan RM1,500.
Tiga pemenang saguhati membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang. Kesemua pemenang turut menerima sebuah trofi dan sijil penyertaan.
Johan kategori pelajar sekolah, Muhd. Syazwan Buang, 17, berkata, dia tidak menjangkakan kemenangan pada pertandingan yang pertama kali disertainya itu.
"Kemenangan ini secara tidak langsung telah meningkatkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh serta berusaha agar menjadi lebih kreatif dan berinovasi," kata pelajar Sekolah Seni Johor Bahru, Johor ini.
Tambahnya lagi, dorongan guru dan ibu bapa telah banyak membantu dia dalam merealisasikan kemenangan tersebut.
Sementara itu, pemenang tempat ketiga kategori sa ma, Nurul Aqilah S. Hamid dan Muhammad Amin Zakaria berasa sangat seronok dan bersyukur dengan kemenangan mereka.
"Kemenangan ini memberi kami motivasi untuk terus berusaha gigih dalam memikirkan idea-idea kreatif dan bernas yang mampu memberi faedah kepada diri, masyarakat dan negara," kata Nurul Aqilah.
Rakan sepasukannya, Muhamad Amin berkata, walaupun sekadar mendapat tempat ketiga, dia tetap bangga kerana dapat mengharumkan nama Sekolah Tinggi Kluang, Johor sehingga ke peringkat kebangsaan.

Pusat sumber sekolah platform pupuk perpaduan 1Malaysia

Pusat sumber sekolah (PSS) memainkan peranan sebagai pusat informasi yang menjadi salah satu kunci utama kepada ilmu pengetahuan dan maklumat serta menjadi platform utama ke arah perpaduan selari dengan konsep 1Malaysia.
Timbalan Dekan (Pelajar & Alumni) Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azman Mat Isa berkata, PSS merupakan salah satu medium untuk pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan di samping memperoleh maklumat yang berkaitan dengan konsep 1Malaysia.
"Objektif 1Malaysia tidak dapat dijayakan sebaik-baiknya tanpa bantuan institusi ilmu dan maklumat yang dikenali sebagai PSS ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Explorasi Jaringan Maklumat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Kapar, Selangor, baru-baru ini.
Program anjuran pelajar Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat (Kepujian) Pengurusan Pusat Sumber Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana itu bertujuan mempromosi dan membudayakan penggunaan pusat sumber di kalangan pelajar secara keseluruhan berteraskan konsep 1Malaysia.
Menurut Ketua Projek, Siti Aishah Saad, program ini juga bermatlamat untuk menjadikan pusat sumber sebagai institusi maklumat yang terunggul dan mampu memenuhi keperluan maklumat semasa berkaitan 1Malaysia.
"Melalui program ini, pelajar akan dapat meningkatkan lagi kesedaran mereka bahawa pentingnya institusi PSS dalam pembinaan jati diri anak bangsa.
"Ia selaras dengan falsafah pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta dapat memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara melalui konsep 1Malaysia," jelasnya.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik minat para pelajar termasuk ceramah oleh mantan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Jaafar Abdul Rahim.
Aktiviti lain adalah kuiz, roda ilmu, teka silang kata, pertandingan mencipta puisi dan teka gula-gula.
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) yang turut serta dalam program ini telah memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk menjadi ahli secara percuma dan mengadakan Bas Perpustakaan Bergerak untuk menarik minat pelajar terhadap buku.
Manakala Jabatan Penerangan pula mengadakan pameran yang bertemakan 1Malaysia.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Selangor, Muhammad Rizal Redzuan. Turut hadir Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, Shaharom TM Sulaiman dan Pengetua SMK (P) Kapar, Meriam Husin. - Utusan Malaysia Online, 14 Mac 2011

Memperkemas kurikulum pembelajaran ICT

Oleh AZMY MOHAMED

Harapan negara untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa depan boleh dicapai melalui kurikulum pembelajaran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sentiasa dikemas kini serta 'bebas' daripada elemen peperiksaan.
Sekiranya falsafah ini gagal dihayati maka proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) ICT akan melahirkan 'robot' yang hebat dalam mengingat dan menghafal sahaja.
Hal ini disebabkan guru akan 'menyuap' murid dengan pengetahuan asas mengoperasi komputer dan menggunakan perisian pemprosesan perkataan di samping mengenali peranti serta perkakasan komputer sahaja.
Manakala murid pula sibuk menyalin nota dan kurang terlibat dengan aktiviti yang memerlukannya mengeluarkan idea kreatif apatah lagi untuk berinovasi.
Lebih malang apabila teknologi yang diajar sudah ketinggalan zaman seperti penggunaan disket untuk menyimpan data dan bukannya pendrive.
Sepatutnya murid didedahkan kepada penggunaan aplikasi atau perisian yang melibatkan reka bentuk, grafik, animasi serta imej tiga dimensi (3D).
Bimbing dan ajar murid dengan pengetahuan asas menggunakan perisian tersebut. Kemudian beri tugasan bertema yang memerlukan kreativiti dan imaginasi mereka seperti menghasilkan watak adi wira, mencipta kenderaan masa depan atau membuat alat kegunaan peribadi.
Berikan kebebasan untuk murid mencipta dan berinovasi waima yang dihasilkan itu sekadar orang lidi.
Untuk rujukan, dalam Youtube banyak animasi orang lidi dan ia berjaya menarik ratusan ribu tontonan. Sila buat carian menggunakan pivot sebagai kata kunci.
Terbukti, rupa bentuk yang dihasilkan tidak penting. Apa yang utama ialah penjelasan atau rasional di sebalik setiap karya tersebut.
Oleh sebab itu, murid perlu mempersembahkan hasil ciptaan mereka kepada kelas.
Ia secara tidak langsung membolehkan murid menguasai pelbagai kemahiran termasuk meningkatkan keyakinan diri untuk berucap di depan khalayak.
Bahkan dalam usaha menyiapkan tugasan, murid boleh melayari Internet secara berpandu untuk mencari maklumat, membuat rujukan dan perkongsian sumber.
Murid boleh sama ada memuat naik hasil kerja mereka atau memuat turun bahan mengikut keperluan.
Sekiranya aspek ini diberi keutamaan, pengetahuan asas mengenai komputer seperti menyimpan (save), menyalin (copy), menampal (paste) dan mencetak akan dapat dipelajari tanpa perlu satu topik khusus. Ia juga akan menjadikan P&P ICT lebih berfaedah dan praktikal.
Mulai tahun ini, murid tahun satu hingga tahun empat mempelajari pengetahuan asas pengkomputeran melalui topik Literasi ICT dalam subjek Bahasa Inggeris. Topik ini akan diajar pada bulan Jun hingga Julai depan.
Selain itu, subjek Pendidikan Seni juga boleh menjadi platform untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif. Ia perlu diintegrasikan dengan penggunaan ICT dan tidak terbatas kepada kaedah lukisan manual sahaja.
Faktor ini perlu diberi pertimbangan serius kerana realiti dunia pekerjaan memerlukan pelukis dan kartunis yang mempunyai kemahiran dalam ICT. - Utusan Malaysia Online, 14 Mac 2011

Anugerah Emas buat ibu

Oleh Haika Khazi

Pelajar terbaik PISMP institut guru mahu balas jasa semua




MUHYIDDIN menyampaikan anugerah pelajar terbaik Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG kepada Muhammad Solehuddin (kanan) di PICC, Putrajaya, di sini, semalam.
 MUHYIDDIN menyampaikan anugerah pelajar terbaik Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG kepada Muhammad Solehuddin (kanan) di PICC, Putrajaya, di sini, semalam.

PUTRAJAYA: "Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan saya ingin menghadiahkan Anugerah Emas selaku pelajar terbaik kepada ibu, ayah serta semua pensyarah yang banyak membantu dan mendoakan kejayaan saya selama ini," kata Muhammad Solehuddin Abdul Rani, 24, selepas diumumkan pelajar terbaik kumpulan pertama graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Solehuddin dipilih sebagai pelajar terbaik daripada seramai 1,987 graduan dari 27 IPG di seluruh negara.

Beliau yang mengambil pengkhususan Bahasa Arab Pendidikan Rendah, berkata antara cabaran yang terpaksa dihadapinya ketika menuntut di IPG Kampus Darul Aman, Kedah, adalah untuk membahagikan masa antara belajar dan aktiviti kokurikulum serta kemasyarakatan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpegang teguh kepada pepatah ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’ dan sentiasa berusaha untuk berjaya dalam hidup, sekali gus membalas jasa ibu bapanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik, Law Seng Hie, 24, dari IPG Batu Lintang, Sarawak, pula berkata kecemerlangan tidak akan diperoleh tanpa usaha gigih.

“Waktu bergelar pelajar saya utamakan pelajaran manakala yang lain diketepikan. Penat lelah saya sebelum ini terbalas juga dengan pengiktirafan sebagai seorang pelajar cemerlang.

“Sekarang saya berasa sangat gembira, malah ibu bapa juga turut bangga atas kejayaan ini,” katanya.- Berita Harian Online, 17 Mac 2011

Pengalaman berbeza graduan UPNM

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

Para pegawai yang mengambil bahagian pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sungai Besi, baru-baru ini.

BAGI kebanyakan graduan, mereka mungkin tidak merasai pengalaman mengorek lubang sedalam lebih satu meter dalam keadaan cuaca panas terik pada siang hari dan kesejukan pada waktu malam.
Lubang itu pula dikorek untuk menyediakan tempat berlindung sekiranya diserang musuh.
Namun, itulah yang dilalui Muhammad Yunos, 24, ketika mengikuti latihan ketenteraan dalam hutan tebal di Mempaga, Pahang ketika bergelar mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Bagaimanapun, keperitan itu ternyata berbaloi apabila Muhammad dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Kadet kepada 298 pelajar universiti itu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kem Perdana Sungai Besi baru-baru ini.
Menceritakan kisah itu, Muhammad yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dengan Mata Gred Terkumpul (CGP) 3.53 berkata, dia terus fokus menjalani latihan ketenteraan kerana sedar rutin itu harus dijalaninya ketika memohon memasuki UPNM.
“Pada masa sama, saya harus membahagikan masa untuk akademik kerana ia merupakan prasyarat untuk ditauliahkan sebagai pegawai kadet.
“Pengajian selama empat tahun di UPNM agak mencabar tetapi inilah cita-cita saya sejak kecil. Oleh itu, saya harus cekal semangat dan berusaha untuk menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan dan alhamdulillah, semua pengorbanan itu berbaloi
“Saya juga tidak pernah menyangka akan dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan. Saya ingin berkongsi kejayaan ini bersama ahli keluarga lain terutamanya ibu, Fatimah Basok yang tidak henti-henti memberi sokongan” katanya sebak dan memeluk ibunya ketika ditemui selepas menerima tauliah daripada Tuanku Mizan.
Selain itu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu turut aktif dalam sukan hoki dengan mewakili universitinya pada Kejohanan Liga Hoki Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).
“Sebenarnya dua orang abang saya juga berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Selepas ini, beliau akan menjalani episod baru dalam hidupnya apabila akan memulakan tugasnya di Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Sepanjang pengajiannya, Muhammad yang juga bekas pelajar jurusan biologi Kolej Matrikulasi Perlis pernah mewakili delegasi UPNM ke Akademi Militer Indonesia, Angkatan Tentera Udara Indonesia dan Universiti Gadjah Mada untuk sesi pertukaran idea.
Sementara itu, Khairul Ashmawi Abdul Latif, 24, yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat manakala Muhammad Hisham Abdul Halim (Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim) dipilih Pegawai Kadet Terbaik Tentera Laut.
Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara pula disandang Mohd. Najib Shawalluddin yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan Mekanikal Aeronautik.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan pengurusan tertinggi UPNM mengekalkan prestasi universiti tersebut demi mencapai wawasan penubuhannya.
Titah Seri Paduka Baginda, langkah-langkah peningkatan perlu dilakukan secara berterusan mengikut perkembangan semasa supaya usaha mewujudkan kecemerlangan pada masa hadapan tercapai.
“Beta berbangga kerana hari ini merupakan hari bersejarah kepada negara khususnya UPNM kerana berjaya melahirkan pegawai muda yang bakal mewarisi kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beta yakin lepasan UPNM adalah seorang pemimpin berkarakter yang bermaruah, berintegriti serta tinggi budi pekerti yang akan meneruskan kesinambungan mempertahankan keselamatan dan memelihara kedaulatan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir pada upacara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentauliahan tersebut merupakan satu amanah yang wajib dipelihara dengan komitmen yang berterusan oleh penerima.
“Penerima tauliah adalah mereka yang terpilih, cemerlang dan sanggup mengorbankan jiwa dan raga kepada agama, bangsa dan negara.
“Begitu juga dengan usaha mengharungi cabaran demi meningkatkan kewibawaan, imej dan keterampilan sebagai pegawai ATM yang profesional dan bertaraf dunia haruslah diteruskan,” titah Tuanku Mizan. - Utusan Malaysia Online, 9 Mac 2011

Bahasa Melayu di hujung tanduk?

Bersama Salbiah Ani


PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang masuk edisi kelima pada tahun ini menimbulkan rasa bangga pihak tertentu apabila ia menarik 59 peserta dari 54 negara termasuk penyertaan baru dari Slovenia, Estonia, Finland, Tajikistan dan Latvia.

Kejayaan program terbabit dijadikan hujah akan penerimaan bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia, seolah-olah lupa bahawa ia sememangnya sudah pun menjadi lingua franca di Nusantara sejak abad ke-14 hingga ke-19.

Buktinya, tumpuan orang asing terhadap bahasa Melayu antaranya dapat dilihat melalui tradisi perkamusan yang dikesan seawal zaman Kesultanan Melaka dengan kamus dalam bentuk daftar kata Melayu-Tionghua.

Perkamusan Melayu pada zaman terbabit diusahakan di kalangan orang bukan Melayu dalam bentuk Daftar Kata dan Dwibahasa kerana didesak oleh keperluan untuk berkomunikasi dengan orang tempatan dalam perdagangan dan menyebarkan agama Kristian.

Antara kamus yang disusun pada zaman itu ialah Kamus Melayu-Madagascar; Arab-Turki) susunan Frederick de Houtman (1603), Kamus Melayu - Melayu Belanda susunan Peter Floris (1604), Buku Perbendaharaan Kata-kata Melayu-Belanda dan Belanda-Melayu susunan Caspar Wilt ens dan Sebastianus Danckaerts (1623) dan Kamus Melayu – Itali oleh Antonio Pigafetta (1600).

Penganjuran pertandingan pidato itu dikatakan sejajar dengan dasar meluaskan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar asing di negara ini yang kini mencecah 75,000 orang dan mereka diwajibkan mempelajarinya agar mudah berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Jika itu sekadar hujahnya, penulis tidak akan berasa lucu kerana sememangnya dengan adanya asas bahasa Melayu akan memudahkan mereka berkomunikasi di negara ini, meskipun tidak seratus peratus benar kerana sebahagian besar rakyat Malaysia lebih cenderung kepada bahasa Inggeris.

Bagaimanapun menimbulkan keraguan tahap melampau apabila kejayaan PABM dikatakan akan membantu mengembangkan bahasa Melayu di negara peserta kerana hujah sedemikian sama sekali tidak masuk akal, hatta kepada mereka dangkal pemikiran sekalipun!

Bagaimana pihak tertentu di Malaysia boleh menaruh harapan tinggi kepada pelajar asing untuk mengembangkan bahasa Melayu di negara mereka, jika situasi di tanah air tidak berkongsi senario mahupun semangat serupa, malahan memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan, Fasal 152!

Apalah gunanya penyertaan meningkatkan jika rakyat Malaysia baik di kalangan orang biasa mahupun berpangkat apalagi yang berwewenang tidak menghormati bahasa Melayu sekalipun ketika berada di gelanggang rasmi yang khalayak sasarannya juga penduduk tempatan!

Perkembangan terkini di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kegilaan mengejar penarafan universiti, juga tidak menunjukkan kecenderungan memartabatkan bahasa Melayu hatta sebagai bahasa pertuturan sekalipun, jauh sekali daripada citranya sebagai bahasa ilmu.

Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBM-MBI) menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang diumumkan pemansuhannya pada Julai 2008, mempamerkan penghayatan tidak berimbang.

Dengan semangat membara majoriti rakyat Malaysia menghayati semangat memperkukuhkan bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam memartabatkan bahasa Melayu sehingga ada naib canselor yang sanggup menjadikan pelajar mereka sebagai badut pada perhimpunan rasmi.

Dasar penarafan universiti yang bertujuan memperkasakan pusat pengajian tinggi negara ini untuk tampil lebih berwibawa dan sama hebat dengan universiti antarabangsa, ibarat senjata makan tuan apabila bahasa Melayu terus menjadi korban demi mencapai misi terbabit.

Lima markah yang diterima universiti untuk setiap seorang pelajar dan pensyarah asing yang menyertai mereka, hakikatnya membunuh bahasa Melayu serta peluang pelajar mahupun pensyarah tempatan untuk sama membina kejayaan di institusi pengajian tinggi milik negara sendiri!

Dalam hal kebahasaan, penulis tetap berasakan Indonesia lebih beruntung dan menghormati apa yang sudah dipersetujui seluruh rakyat mereka melalui Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928 dengan ikrar `Satu Nusa, Satu Bangsa, Satu Bahasa' yang dipertahankan sehingga ke hari ini!

Bahasa Melayu sebagai bahasa minoriti di negara terbabit diangkat menjadi bahasa rasmi bagi menyatukan semua kaum di Indonesia sehingga nama mereka turut diwajibkan dalam bahasa Melayu, tanpa mengira asal keturunan masing-masing, melalui dasar asimilasi negara jiran itu.

Tidak siapa boleh menafikan Indonesia lebih dikenali dengan imej bahasa Indonesia/Melayu untuk negara bekas jajahan Belanda itu sehingga bahasanya juga tersebar di semua pelosok dunia dan memerlukan orang asing mempelajari bahasanya kerana segala urusan rasmi dalam bahasa terbabit.

Bagaimanapun, Malaysia tidak demikian kerana sikap rakyatnya tanpa mengira bangsa mahupun kedudukan, lebih Inggeris daripada Inggeris sendiri, lalu tiada siapa peduli bahasanya menjadi melukut di tepi gantang meskipun haknya sudah dilindungi undang-undang! - Berita Harian Online, 17 Mac 2011

Mine E-Able bantu OKU pelajari IT

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

JENAB Jannah Mohd Kasim, 26, tekun mengadap komputer menyiapkan tugasan, sedikit demi sedikit beliau berjaya melakukannya, usahanya itu kemudian mendapat pujian gurunya.

Mungkin ia kedengaran biasa bagi kita, tetapi Jenab Jannah bukanlah pelajar normal kerana dia mengalami masalah Cerebral Palsy atau dikenali sebagai Spastik sejak dilahirkan.

Menceritakan bagaimana berminat belajar di institut berkenaan, katanya ia adalah atas dorongan rakannya yang berjaya memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian di situ.

"Selepas dengar ceritanya, saya terus menelefon pihak Institut Latihan Mines E-Able dan menyatakan minat belajar di sini.

"Faktor persekitaran semuanya baik, rakan dan guru sedia memberi bimbingan dan sokongan,” katanya ramah.

Beliau juga berharap supaya majikan dapat memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya bekerja di syarikat mereka.
"Jangan pandang kami dari luaran saja kerana saya yakin golongan OKU boleh melakukan pekerjaan jika diberi peluang," katanya.

Selain beliau, terdapat seorang lagi pelajar Melayu di situ dan selebihnya adalah daripada bangsa Cina.

Pengetuanya, Ther Pek Cheng, berkata beliau berhasrat menarik lebih ramai pelajar OKU daripada pelbagai bangsa belajar di situ.

"Mungkin kerana kekurangan publisiti menyebabkan ramai pelajar tidak mengetahui mengenai kewujudan institut ini walaupun sudah beroperasi lebih tujuh tahun.

"Di sini, pelajar tidak perlu bimbang mengenai masalah kewangan kerana semua yang disediakan adalah percuma merangkumi pengangkutan, asrama, pengajian dan makanan.

"Yang penting, mereka ke sini dengan niat untuk belajar dan menghilangkan rasa rendah diri,” katanya.

Di situ, terdapat dua kursus ditawarkan iaitu Pengaturcaraan Laman Web dan Reka Bentuk Grafik selain terdapat juga program sampingan iaitu subjek klasik Barat dan Timur serta Muzik.

Katanya, bidang Teknologi Maklumat (IT) menjadi tumpuan kerana bagi pengasasnya iaitu Tan Sri Lee Kim Yew yang juga Timbalan Pengerusi Country Heights Holdings Berhad, IT adalah rahmat kepada orang OKU daripada Tuhan kerana membolehkan mereka belajar seperti mereka yang normal.

Sementara itu, Loke Sin Ying, 29, yang mengalami masalah sama seperti Jenab Jannah menyebabkan dia terpaksa hidup bergantung menggunakan kerusi roda sejak berusia tujuh tahun.

Namun, kekurangan yang ada bukanlah alasan untuknya berputus asa dengan hidup, sebaliknya menguatkan azam untuk berjaya.

"Saya dapat tahu mengenai tempat ini selepas terbaca satu artikel di akhbar Cina dan ia membuatkan saya tertarik belajar di sini.

"Harapan saya selepas tamat pengajian tahun ini akan berpeluang memperoleh pekerjaan dalam bidang Reka Bentuk Grafik," katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam Temasya Sukan Paralimpik di Ching Dao, China dalam acara Kapal Layar pada 2008.

Kepada mereka yang berminat untuk mengikuti pengajian atau mengetahui lebih lanjut mengenai institusi ini, boleh hubungi Ther di 012 257 8469 / 03 8941 4804 atau layari laman web, http://www.mineseable.org.- Berita Harian Online, 17 Mac 2011

UKM lancar tabung kemanusiaan mangsa Tsunami Jepun

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

PRIHATIN dengan nasib mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi - Tsunami Jepun.

Tabung itu mensasarkan kutipan sejumlah RM150,000 daripada pelajar dan kakitangannya dalam tempoh lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Dr Othman A Karim, berkata sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai jika setiap pelajar sanggup menderma sekurang-kurangnya RM5 seorang dan kakitangan, RM10.

"Itu adalah nilai minimum, saya percaya akan ada yang menderma lebih daripada itu,” katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi - Tsunami Jepun di Bangunan Canselori UKM Bangi, baru-baru ini.

Pelancaran tabung disempurnakan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. - Berita Harian Online, 17 Mac 2011

Belajar Berjalan, Bertutur Di KDSF

Rencana ini, yang pertama daripada dua bahagian, ialah sempena Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Nishi (nama timangan), empat tahun, dilahirkan dengan Sindrom Down. Tahun-tahun awal kanak-kanak ini, tidak seperti anak-anak normal lain. Dia sukar untuk menyebut perkataan apatah lagi bertutur.

Nishi juga tidak boleh melangkah seperti anak kecil kerana otot-ototnya yang lemah menghalangnya daripada berbuat demikian.

Seperti kes Sindrom Down, kelemahan juga berlaku dengan perkembangan minda Nishi. Semua ini memang menghalang dia daripada bertutur dan bergerak (berjalan) seperti anak yang normal.

"Saya telah minta bantuan daripada banyak pihak tetapi anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan", kata ibu Nishi yang hanya mahu dikenali sebagai Zai kepada penulis di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling dekat sini.

Zai menjadi hampir putus asa kerana tiada perubahan dapat dilakukan pada masalah pertuturan yang dialami Nishi.

"Kemudian seorang rakan mencadangkan saya menghantar Nishi ke KDSF kerana pusat itu bersedia membantu anak-anak Sindrom Down", kata kakitangan awam yang berumur 42 tahun itu.



KDSF BANTU ANAK SINDROM DOWN

Zai mendaftarkan anaknya di KDSF-NC pada Mei 2009. Anak itu berumur dua tahun ketika itu.

"Di situ (KDSF-NC), mereka ada pakar fisioterapi, serta juga pakar patologi pertuturan (SLP)".

Selepas penilaian tentang sifat fizikal dan minda Nishi diadakan, anak itu dimasukkan ke kelas mingguan yang merangkumi latihan menguatkan otot serta pertuturan.

Kini, selepas dua tahun berlalu, Nishi sudah boleh berjalan dan mula menyebut bunyi-bunyi yang hampir sama dengan sebutan dalam pertuturan.

"Nasib baik saya hantar anak ke KDSF kerana mereka (pakar terapi) berjaya dapat membantunya," kata Zai.

KDSF mempunyai tiga pakar fisioterapi - Junaleth 'June' Dalupang, Hazel Joy Sablay dan Ida Yasmine Ahmad manakala SLPnya ialah Jessie Lim. Mereka inilah yang membantu Nishi dengan memberikan latihan menguatkan otot dan dalam pertuturan.

"Mereka banyak membantu anak saya," kata Zai.



KDSF-NC KOMITED

"Yayasan Sindrom Down Kiwanis komited terhadap kebajikan anak-anak yang mengalami sindrom ini. Fokusnya adalah pembelajaran anak-anak ini sehingga umur mereka enam tahun," kata Pengarah KDSF-NC Angie Heng.

Menurut Heng, pusat itu memberi keutamaan terhadap program Pembelajaran Khas selain melatih guru-guru dalam Keperluan Pembelajaran Khas.

"Kalau perlu, kita juga memberi khidmat nasihat serta kaunseling kepada keluarga yang mempunyai anak Sindrom Down selain daripada berusaha meningkatkan kesedaran awam tentang Sindrom Down.

Pusat itu mengamalkan pendekatan Kurikulum Robert Dellar, satu Program Intervensi Awal (EIP) sebagai panduan pembelajarannya.



BANTUAN, BUKANNYA RAWATAN

Menurut Heng lagi, istilah intervensi digunakan untuk merangkumi aspek fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan serta bantuan pembelajaran khas.

Katanya istilah 'intervensi' telah menggantikan perkataan 'terapi dan rawatan' bagi menekankan ia merupakan sejenis 'bantuan' dan bukannya 'rawatan'.

Intervensi awal diberikan daripada selepas lahirnya anak sehinggalah mulanya alam persekolahan.

Apa yang dilakukan di KDSF?

Terdapat beberapa jenis program intervensi. Antaranya ialah sistem intervensi di rumah, pusat atau pusat asuhan-sekolah.

"Di KDSF, intervensi dilakukan di pusat yang digunakan. Ia memberi ruang kepada ibu bapa keluar daripada rutin harian mereka dan berjumpa dengan keluarga lain. Lebih ramai anak istimewa akan dapat manfaat daripada perkhidmatan di sini," kata Heng.

Ibu bapa anak-anak juga dapat meminjam permainan untuk anak mereka dari perpustakaan mainan yang disediakan di KDSF-NC.



MASALAH GENETIK

Sindrom Down ialah masalah genetik yang paling prevalen dalam kanak-kanak disebabkan kehadiran satu lagi kromosom nombor 21. Sebab itulah masalah ini dikenali sebagai 'Trisomi 21'.

Ia berlaku sekali dalam 660 kelahiran dan wujud dalam semua golongan etnik. Risiko seorang wanita mempunyai anak Sindrom Down meningkat dengan umurnya ketika mengandung.

Alamat KDSF-NC ialah di Lot 13490, Jalan Jenjarum, Off Jalan SS 23/1, Taman SEA, Petaling Jaya. (tel : 603 - 7803 0179 / faks : 603 - 7806 4862 emel : info@kdsf.org.my).

Terdapat juga pusat KDSF di seluruh negara -- KDSF-Pusat Klang di 28 Jalan Kampar, 41300 Klang (tel/faks : 603-3342 8259 emel:kc@kdsf.org.my) dan Pusat KDSF Johor Baharu di No. 19, Jalan Resak, Majidee Park, 80250, Johor Baharu (tel/faks: 607-3339336 emel: kdsfjb@streamyx.com).

Pusat-pusat KDSF yang lain ialah di Seremban di 273, Jalan Rasah, Taman Ho, 70300, Seremban (tel/fax: 606-7625595 emel:kdsfsc@tm.net.my); Melaka di JKR 654, Bukit Peringgit 75400 Melaka (tel: 606-282 4742); Kota Kinabalu (Rumah No. 33, Lorong Gunung Ledang 4, Taman Milek, fasa 2, 88300 Kota Kinabalu (Tel: 6088 - 219 809 faks: 6088 - 219 808 emel: kkc@kdsf.org.my) dan Ipoh di No 2, Persiaran Bercham 27 Taman Sri Kurau, 31400 Ipoh (tel: 605-5468386 faks: 605-548386 emel : kdsfipohcentre@yahoo.com)

Usul bahas isu novel Interlok ditolak

DEWAN Rakyat semalam menolak usul untuk membahaskan penggunaan novel Interlok sebagai teks komponen sastera Tingkatan Lima yang didakwa mengandungi unsur perkauman dan boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

Usul dikemukakan M Manogaran (DAP-Teluk Intan) itu ditolak mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak memenuhi syarat yang berkehendakkan usul itu disegerakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata isu penggunaan novel Interlok adalah antara isu yang diberi keutamaan dan mendapat perhatian serius kerajaan.

Katanya, Kementerian Pelajaran sudah mengambil pelbagai langkah segera termasuk mewujudkan jawatankuasa bertindak, mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan menubuhkan panel bebas yang akan membentangkan hasil kajian kepada jemaah Menteri.


(Berita Harian Online, 17 Mac 2011)

Parlimen: Kerajaan Digesa Hidupkan Semula Program RIMUP

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen Rabu menggesa kerajaan untuk menghidupkan kembali program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dalam memastikan agenda perpaduan nasional dapat terus dicapai.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) berkata peruntukan yang lebih besar wajar diberikan untuk mengaktifkan semula RIMUP sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini.

"Peruntukan untuk melaksanakan RIMUP ini hanya RM25.8 juta, yang mengadakan program setiap hari, setiap minggu, setiap tahun. Ini hanya lima peratus daripada peruntukan untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang hanya tiga bulan.

"Malah dalam Bajet 2011, tidak ada peruntukan untuk RIMUP. Jadi saya hendak tanya adakah kerajaan masih serius untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini?" katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Rakyat Rabu.

RIMUP mula diperkenalkan pada 1986 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Pendidikan, bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan kaum di peringkat sekolah menerusi aktiviti bersama seperti sukan dan kokurikulum.

Program itu dilancarkan semula pada 2005, apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri dengan peruntukan tahunan sebanyak RM25.8 juta.

Khairy berkata, RIMUP yang bermula di peringkat sekolah rendah merupakan langkah terbaik untuk menggalakkan integrasi antara kaum di negara ini.

"Jika kita hendak betulkan minda generasi muda supaya mereka lebih mudah bergaul dengan bangsa lain, harus bermula dari peringkat awal. Kalau pemikiran dan pandangan mereka hendak dibetulkan melalui PLKN, saya rasa itu sudah agak terlewat kerana ketika itu mereka sudah mencecah usia 18 tahun, sudah ada pemikirannya sendiri," katanya.

Malah Khairy berkata, dalam tinjauan peribadinya ke beberapa buah kem PLKN di seluruh negara, kebanyakan peserta dilihat lebih senang berada dalam kelompok bangsa sendiri daripada bergaul dengan bangsa lain.

Katanya cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran, tidak dapat dilaksanakan kerana adanya jaminan dalam Perlembagaan bahawa pendidikan vernakular akan terus terpelihara.

Sementara cadangan untuk mengadakan sekolah wawasan pula sering dipolitikkan, kononnya akan mengubah karektor sekolah jenis kebangsaan, katanya.

Menjawab celahan Teng Boon Soon (BN-Tebrau), Khairy bersetuju bahawa konsep RIMUP adalah baik, namun pelaksanaannya lemah.

"Saya yakin kekurangannya adalah disebabkan kurangnya komitmen kerajaan khususnya dari segi peruntukan untuk RIMUP yang terlalu kecil," katanya yang berharap perkara itu dapat diberi perhatian oleh kerajaan.

20 Pelajar Dibuang Sekolah Tanpa Amaran, Kata Waris

BUKIT KAYU HITAM, 16 Mac (Bernama) -- Ibu bapa kepada 20 pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini kesal dengan tindakan pengetuanya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang mereka dakwa membuang sekolah pelajar-pelajar itu pada 10 Mac lepas tanpa memberi notis amaran dan peluang membuat rayuan.

Pelajar-pelajar terbabit dikenakan tindakan itu dipercayai sebagai hukuman kerana mengasari seorang pelajar tingkatan empat pada 25 Feb lepas di surau sekolah itu.

Jasmi Mohd Noor, 44, bapa seorang daripada pelajar itu, berkata beliau sedar perbuatan kumpulan pelajar terbabit adalah salah dan pihak sekolah berhak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka, namun hukuman buang sekolah adalah keterlaluan.

"Saya kesal dengan tindakan pengetua dan PIBG yang mengambil tindakan buang sekolah, sepatutnya mereka dikenakan hukuman rotan dahulu sebelum mengambil tindakan yang lebih berat," katanya kepada pemberita di sekolah itu di sini Rabu.

Ibu bapa kepada 20 pelajar terbabit telah bersemuka dengan pengetua di sekolah itu pada 8 pagi tadi bagi berbincang mengenai tindakan terhadap anak mereka namun kecewa kerana pengetua berkenaan berkeras tidak mahu mengubah pendiriannya.

Jasmi, seorang bekas guru, berkata ibu bapa pelajar terkejut mendapat tahu mengenai tindakan terhadap anak masing-masing menerusi surat bertarikh 10 Mac yang mereka terima pada 13 Mac.

"Sebelum ini, selepas tiga hari dari tarikh kejadian anak-anak kami diminta keluar dari asrama sekolah itu serta merta tanpa diberi peluang untuk membela diri.

"Ada pelajar yang tinggal di luar Kedah iaitu Terengganu dan Selangor tidak tahu arah tuju setelah diarah keluar sebelum pukul 6.45 petang. Mujurlah mereka tinggal di rumah rakan terdekat sebelum pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang lagi bapa, Shukri Ali, 42, berkata beliau bimbang kerana pelajar-pelajar itu akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

"Ada tujuh bulan lagi mereka nak duduki SPM. Perkara yang berlaku kepada anak saya itu membuatkan anak saya murung dan tidak semangat," katanya.

Jabatan Pelajaran Kedah tidak dapat dihubungi untuk ulasan.

Asas Masyarakat Berpengetahuan Mampu Akses Maklumat, Menilai Dan Memanfaatkannya

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Rakyat yang mampu mendapatkan akses maklumat, memahami, menilainya secara kritikal dan memanfaatkannya, merupakan asas bagi masyarakat yang berpengetahuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sebuah buku bukan hanya satu instrumen ingatan dan imaginasi, tetapi kemampuan untuk mendapatkan akses mengenai perkara yang tertulis boleh melahirkan "satu kemungkinan bagi merubah dunia, meningkatkan kehidupan orang ramai, dengan mengambil keputusan yang melibatkan kita sebagai warganegara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan sebuah buku bertajuk "From Alma Baker Mansion to Ombak: Relocation and Restoration of a Colonial Style Malayan House" yang ditulis oleh Ahmad Hisham Kamaruddin di banglo gaya kolonial jurukur New Zealand Charles Alma Baker yang dibina pada 1894 di Batu Gajah, Perak yang dibelinya pada 2004 dan memindahkannya ke Terengganu. Buku itu diterbitkan oleh Lembaga Warisan Negara.

"Setengah orang mendakwa bahawa televisyen dan radio dan teknologi digital lebih berpengaruh daripada buku. Memang benar ia mempunyai audiens yang besar daripada yang lain dan tidak membebankan tapi ada ramai orang lain termasuk saya, yang masih percaya bahawa buku tidak dapat digantikan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

"Semua orang tahu betapa bergunanya buku. Ia meringkaskan fakta dan idea yang sudahpun diketahui. Ia berhubung fakta baru dan mengembangkan idea baru. Ia membantu dalam pengajaran. Ia membolehkan cendekiawan melibatkan diri dalam dialog. Ia memberitahu kita cara untuk melakukan sesuatu. Ia memberi inspirasi, ia menghiburkan," katanya.

"Sepanjang tempoh sejarah dan begitu juga dengan masa depan merupakan bahan mentah bagi sebuah buku bercetak," katanya.

Mengenai buku itu, Muhyiddin berkata ia merupakan peristiwa penting dalam menerbitkan warisan seni bina negara dan merupakan sebuah buku yang penting dari beberapa segi pandangan.

Katanya buku itu juga penting sebagai satu rekod mengenai jenis tertentu struktur bangunan dalam sejarah seni bina Malaysia, berdasarkan model beberapa variasi banglo India-Inggeris.

Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara Prof Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata jabatan itu akan meneroka kemungkinan mengemukakan rumah itu untuk pertimbangan bagi anugerah Aga Khan bagi seni bina.

Anugerah berprestij itu diwujudkan pada 1977 yang antara lain bertujuan mengenal pasti dan menganugerahkan konsep seni bina yang berjaya menangani keperluan dalam bidang reka bentuk kontemporari, penambahbaikan, pemuliharaan, penggunaan semula dan kawasan pemuliharaan dan begitu juga dengan reka bentuk landskap dan menambah baik persekitaran.

"Kami amat gembira bahawa rakyat Malaysia seperti Ahmad Hisham mengambil usaha memulihara warisan. Warisan adalah urusan semua orang (dan) bukan sahaja urusan jabatan itu sahaja," katanya.

Parlimen: Usaha Perluas Program Permata Pintar Dipertimbangkan, Kata Nazri

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbang usaha untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata program itu, yang kini hanya diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diharap dapat diperluaskan ke seluruh IPT sekiranya kewangan negara mencukupi.

"Memang menjadi hasrat kerajaan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT, tetapi ia bergantung kepada kewangan negara," katanya menjawab soalan tambahan Matulidi Jusoh (BN-Dungun).

Matulidi ingin tahu sama ada Sekolah Permata Pintar akan ditubuhkan dan kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT dalam negara.

Matulidi dalam soalan asalnya mahu kerajaan menyatakan jumlah pelajar tingkatan empat yang mendaftar dalam Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM serta keistimewaan dan matlamat pengajian tersebut.

Nazri berkata Sekolah Permata Pintar, yang bertujuan menempatkan pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar pintar cerdas melalui Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM, kini sedang dibina.

Menjawab soalan asal Matulidi, beliau berkata seramai 116 pelajar pintar Tingkatan Empat telah mendaftar dalam Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM.

"Secara umumnya, matlamat program itu bertujuan melahirkan pemikir beradab yang berkeyakinan, mempunyai nilai kepimpinan tinggi, kreatif, inovatif dan berjati diri kebangsaan di persada antarabangsa," katanya.

Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu Lulus Tujuh Resolusi

KUALA TERENGGANU, 16 Mac (Bernama) -- Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 yang berakhir Rabu meluluskan tujuh resolusi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan.

Presiden Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Profesor Madya Dr Hashim Othman berkata seminar anjuran PPBM Cawangan Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran Terengganu itu memberi fokus kepada penambahbaikan dasar bahasa dan pembudayaan bahasa Melayu itu sendiri.

Beliau berkata antara resolusi yang dibuat ialah meminta kerajaan mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar untuk semua mata pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.

Kementerian Pelajaran juga perlu mengadakan bengkel dan kursus secara berterusan agar pembelajaran bahasa Melayu yang memikat dapat direalisasikan pada peringkat sekolah rendah dan menengah serta melatih kemahiran bahasa Melayu tinggi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu menyediakan Latihan Dalam Perkhidmatan kepada guru bagi membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi di samping menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

"Kerajaan juga diminta menggerakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit buku ilmu dan menyokong kuat kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dalam mengimport ilmu melalui terjemahan.

"Usaha menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu perlu dilakukan manakala seni dipergiatkan bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana teknologi maklumat dan komunikasi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Hashim berkata bagi menjayakan resolusi itu, pemimpin terutamanya wakil rakyat dan pegawai kerajaan perlu menguasai dan menggunakan bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

Kerajaan juga diharap dapat mengiktiraf PPBMM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong dan membantu usaha positif kerajaan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan, katanya.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan pakar bahasa Melayu tempatan dan dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan China pada seminar yang bermula Isnin lepas.

Seminar yang pertama kali dianjurkan di Terengganu itu disertai 250 peserta dari tiga negara iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Parlimen: Kementerian Pelajaran Lantik Jawatankuasa Nilai Kesalahan Cetak Buku Teks

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan melantik Jawatankuasa Penilaian/Kawalan Mutu dan Jawatankuasa Readers bagi menilai semula kesalahan ketara yang terdapat dalam penerbitan buku teks di sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jawatankuasa itu terdiri daripada enam pakar termasuk pensyarah institut pengajian tinggi (IPT) dan guru cemerlang yang berpengalaman mengikut mata pelajaran.

"Prosedur ini juga akan diberikan penekanan kepada semua penerbit buku teks yang terlibat bagi memastikan setiap proses kerja penerbitan dipatuhi penerbit dalam usaha menjamin kualitinya," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Noraini dalam soalannya ingin tahu langkah yang diambil kementerian untuk menjamin buku teks di sekolah tidak mengandungi kesalahan ketara seperti yang terdapat dalam buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Inggeris Tahun Satu.

Mohd Puad berkata kementerian juga akan membuat penambahbaikan dan mengetatkan proses kerja dalam penerbitan di samping memantapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama dalam penerbitan buku teks.

Mohd Puad berkata buku yang diterbitkan itu adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn Bhd.

"Kalau mengikut prosedur yang ditetapkan, penerbit perlu mendaftar dengan Kementerian Kewangan dan penerbit akan dinilai berasaskan keupayaan kewangan, pemantauan premis dan bahan tulisan.

"Tetapi dari segi penyiaran bahan tulisan ini ialah DBP akan bekerjasama dengan jawatankuasa kawalan mutu untuk penilaian di peringkat itu," katanya menjawab soalan Noraini sama ada kementerian membuat penilaian akhir dan menetapkan kriteria untuk memastikan buku yang diterbitkan itu adalah asli dan berkelayakan.

Mohd Puad berkata penerbit bertanggungjawab untuk menganggung kos akibat kerugian yang berlaku dalam pencetakan buku berkenaan.

"Seperti dalam kes ini ia melibatkan RM1.3 juta. Jadi ini akan ditanggung oleh penerbit," katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang).

Tiada Arahan Bawa Pulang 207 Pelajar Tajaan MARA Di Jepun

KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- MARA tidak menerima sebarang arahan daripada Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara untuk membawa pulang 207 pelajar tajaannya di Jepun ekoran gempa bumi di negara itu pada Jumaat lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau juga berkata semua pelajar tajaan MARA di Jepun itu dilaporkan dalam keadaan selamat dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian anjung ilmu dan tabung amanah Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini hari ini, beliau berkata MARA masih lagi menunggu keputusan Wisma Putra dan MKN sama ada akan membenarkan 68 pelajar tajaan Mara yang dijadual bertolak ke Jepun pada Sabtu dan Ahad ini.

Mengenai anjung ilmu yang wujudkan oleh YPM, Shafie berkata sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk membangunkan 68 kemudahan itu di seluruh negara.

Guru Perlu Melengkapkan Kemahiran Mengikut Arus Pembangunan - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.

Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari Rabu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

"Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

"Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek," kata beliau.



Muhyiddin mengingatkan guru bertauliah itu tidak merasakan bahawa ilmu yang dipelajarinya mencukupi, sebaliknya memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi serta melaksanakan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab.

"Bidang pendidikan memberikan sumbangan besar dan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

"Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru dan pendidik hari ini semakin penting dan kritikal berbanding pada masa dahulu. Jadilah seorang guru yang mampu berfikir secara kritis, menulis secara persuasif, berfikir dan memberi pendapat secara logik serta mengatasi masalah rencam yang dihadapi oleh murid-murid pada masa ini," katanya.

Hakikatnya tenaga pendidik perlu sedar peranannya dalam mengasuh pemimpin dan tenaga kerja masa depan ke arah memacu pembangunan Malaysia, kata Muhyiddin.

Seramai 1,987 penuntut Institut Pendidikan Guru seluruh negara menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan pada konvensyen pertama itu.